Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Dua pemuda Palestin bertindak nekad melepaskan tembakan di pasar yang sesak.
Kedua-dua mereka dikenal pasti sebagai rakyat Palestin yang berasal dari perkampungan dekat kota Hebron, jajahan Israel di Tebing Barat.
Rakaman CCTV menunjukkan kedua-dua mereka berpura-pura menjadi pelanggan di sebuah restoran dan tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah seorang pelanggan manakala yang lain bertempiaran lari.
Polis rejim berkata, penyerang telah membunuh empat orang pada pukul 9:30 pagi waktu tempatan dan mencederakan enam orang yang lain.
Tidak semena-mena, Jabatan Negara Amerika langsung menyatakan kecaman terhadap serangan tersebut. Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu baru pulang dari lawatan ke Moscow bergegas ke Kementerian Pertahanan untuk menilai insiden tersebut.
Gerakan Hamas memaklumkan, "Operasi berani di Tel Aviv merupakan berita gembira di bulan Ramadhan dan pesanan jelas kepada para pemimpin rejim penjajah al-Quds."
Jurucakap Hamas Hussam Badran berkata, "Inilah berita baik untuk bangsa Palestin dan berita gembira bagi bangsa Palestin, iaitu mereka ini berani dan operasi dilakukan ketika rejim sedang leka di bulan Ramadhan."
"Para pemuda ini mampu meloloskan diri dari sistem keselamatan rejim Zionis dan ahli Zionis menjadi sasaran di pusat penempatan mereka sendiri," katanya sambil memuji tindakan para pemuda tersebut.
Beliau mengingatkan, "Lolosnya dua pemuda ini dari Tebing Barat ke bumi jajahan, perlaksanaan operasi ini di persekitaran Kementerian Perang rejim Zionis menunjukkan kegagalan tindakan ke atas intifadhah al-Quds dan tumpasnya rejim ini dalam menghancurkan spiritual para pejuang di kalangan para pemuda Palestin."












Jurucakap Hamas menegaskan, "Lokasi operasi ini memberikan pesanan jelas kepada para pemimpin rejim Zionis terutama sekali Menteri Peperangannya yang sentiasa mengancam bangsa Palestin, bahawasanya dia tidak sekali-kali berkemampuan membunuh keazaman bangsa ini."
Tambah beliau lagi, "Bulan Ramadhan akan menjadi bulan penderitaan dan kesusahan untuk seluruh pemimpin rejim Zionis dalam seluruh tindakannya."